Trading dan Investasi

ad1

Iklan Gratis

Tampilkan postingan dengan label Sajak. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Sajak. Tampilkan semua postingan
Kemenangan dan kekalahan

Kemenangan dan kekalahan

Kemenangan
ada kalanya nikmat
jika dengan redaNya.

Kemenangan
ada kalanya istidraj
jika tanpa rahmatNya.

Kekalahan
ada kalanya musibah
jika dengan niat yang salah.

Kekalahan
ada kalanya anugerah
jika dengannya terjamin di akhirat.

Awang Sariyan
Di denai kehidupan

DBP, Kuala Lumpur 2016

Puisi Dua Duka yang Berbeza

Puisi Dua Duka yang Berbeza

Piool.com - Duka nestapa
perihal dunia
tiadalah sebanding
dengan azab
di alam sana

Duka nestapa
di dunia
sering kali sementara
permainan hidup belaka
menguji dan mencuba
utuh lemahnya jiwa

Duka nestapa
di alam sana
entah bagaimana
kerana belum tiba rasa
namun dalam mushaf telah tertinta
betapa berat tanggungjawabnya

Tiadalah upaya kami
untuk menghadapi dan mengalami
azab pedih yang tak terperi
kupohon Kautuntun kami
berada di jalanMu, ya Ilahi.

Awang Sariyan
Di denai kehidupan
DBP, Kuala Lumpur 2016

Nasib bahasaku

Nasib bahasaku

Tertanya pada diri
berbaloikah aku merungut benci
pabila bahasaku digaul semahu hati
konon atas nama modernisasi.

Diperlaku bak hilang arah
nasib bahasaku semakin parah
direncah sesedap rasa
konon demi menyatu warga
berdekah sinis sipenjual rojak.

Sang pencinta
melepas batuk di pentas debat
sang pejuang terluka
pekik sayupnya tak didengar
sang pujangga
urusan perut tak pernah selesai.

Salah siapa
bahasaku kini kehilangan peribadi
merempat di bumi sendiri
siapakah ambil peduli.

Bahasaku
menyusur hilang dalam terang
apakah dapat ditawar lagi.

Mohd Salleh Osman
Putrajaya
Mingguan Malaysia

31 Dis 2017

Mendidik tidak pernah berdosa

Mendidik tidak pernah berdosa

Tangan tak pernah
memberi warna hitam
pada badan yang suci
kerana kita ada hati
untuk memberi jalan
mendidik insan.

Atas nama mendidik
tidak lah diberi gerakkan tangan
menghinggap kesakitan
tetapi masih ada suara
berbisik ke arah kebaikan.

Mendidik tidak pernah berdosa
kerana di pohon tangan kita
sentiasa  berbungakan anak bangsa
untuk disiram dengan air kasih sayang.

Ahmad Firdaus
Tanjung Malim
Mingguan Malaysia
31 Dis 2017

Pantun mengenang jasa ibu bapa

Pantun mengenang jasa ibu bapa

Pohon pinang pohon kelapa
Hiasan desa tanah seberang
Mengenang jasa ibu dan bapa

Bulan puasa bulan mulia
Pahala berganda kurniaan Allah
Tanda ingat akan jasa ibu bapa
Sentiasa mendoakan mereka di alam barzakh.

Awang Sariyan
Di denai kehidupan
DBP, Kuala Lumpur 2016



Perihal kuda

Perihal kuda

Ada orang yang berkuda
untuk  ke mana-mana
ada orang yang berkuda
untuk bersuka-suka
sebagai riadah senggang masa

Ada kuda
ada kuda-kuda
kuda bernyawa
kuda-kuda hanya benda
tanpa nyawa
kuda-kuda di bumbung rumah
kuda-kuda alat permainan si manja
kuda-kuda kedudukan dalam persilatan

Ada orang yang memperkuda
sesiapa sahaja yang sanggup diperkuda
untuk kuasa atau karta
untuk nama atau wanita
yang memperkuda beroleh laba
yang diperkuda ada kalanya beroleh hampa

Demikian perihal kuda
berkuda dan bermain kuda-kuda
untuk keperluan manusia
namun memperkuda
dan rela diperkuda
sifat dan tabiat tercela
kuda diperkuda memang fitrah
manusia diperkuda punah maruah.

Awang Sariyan
Di denai kehidupan

DBP, Kuala Lumpur 2016

Perahu kayu

Perahu kayu


Di dalam lemari kaca
sebuah muzium lama
ditatap,berkilir gelak ketawa
pengunjungnya.
 
Sebuah perahu kayu
replika tatapan warga.

Di tepi sebatang sungai
sebuah perahu kayu, usang
terbiar, tanpa pemilik, tanpa cakna.

Di sini
sejarah duka kehidupan
pembangunan terbina
tanpa makna apa-apa.

Sungai mengalir lesu –
pembangunan terus memacu
sebuah perahu kayu
tersadai, mereput sendiri
hilang bersama sejarah diri.

Ezani Haji Daud
Kota Bharu
Mingguan Malaysia
26 Mac 2017

Kalam Allah

Kalam Allah

Tenggelam daku
dalam alunan syahdu
kalam Allah
yang meniti di bibir imam
dalam solat tarawih dan witir
bersela dengan selawat dan tasbih
memuja Kekasih maha berkuasa
dan kekasih utusanNya.

Cukuplah kala bicaraMu
bagiku
dengan kebenaran yang muktamad
daripada mendengar
bicara manusia
yang lebih banyak kosong hampa.

Awang Sariyan
Di denai kehidupan
DBP, Kuala Lumpur 2016



Redha

Redha

Jangan pernah sekali pun engkau katakana
dirimu tidak pernah didatangi ujian
kalau bukan padaanak, mungkin pada pasangan
kalau bukan pada kesihatan, mungkin pada pencarian.
 
Ujian pasti dating pada mereka yang mengaku beriman
di situ letaknya kasih saying dan cinta Tuhan
yang perlu engkau buktikan melalui pergantungan
hanya kepadaNya yang mutlak memiliki penyelesaian.

Jangan ego pada hakikat
mengaku dirimu sentiasa kuat

boleh selesai segalanya dengan kudrat
sedang nyawamu dalam gengamanNya yang hebat

Dia Maha Tahu apa yang berada di belakang malah di hadapan
malah apa jua yang cuba engkau sembunyikan
kita mampu  fikir dua tiga penyelesaian
sedang Dia memiliki beribu-ribu jalan.

Lalu mengapakah engkau mencari selain Dia?
manusia, ilmu dan ubat hanya medium
jangan berhenti bertakwa, belajar jadi redha
nikmatnya akan engkau temui, ketenangan di dunia.

Anizal Abdul Latif
Genius dari syurga,2015

Kita cari redha Allah

Kita cari redha Allah

Usah peduli dengan kata-kata manusia
terhadap anak-anak kita
kita cari redha Allah
bukan cari redha manusia.

Dibandingkan dengan anak mereka
sudah menjadi perkara biasa
dipandang pelik pada gaya
sudah sebati dengan kita.

Ditanya mengapa, kenapa, salah siapa
sudah menjadi makanan kita
kadang-kadang semuasoalan mereka
kita mampu jawab dengan senyuman sahaja.

Air mata….
aduhai…..tak mampu lagi untuk disukat
tapi Allah beri mereka kepada kita
sebab Allah Maha Tahu, yang sebenarnya kita kuat.
 
Katakan pada diri
biarlah aku memilih untuk menjadi sabar
kerana Allah sudah berjanji
Dia sentiasa ada bersam orang yang sabar.

Tidakkah itu satu penghargaan daripada Allah?
Dia tak mungkin meninggalkan kita
sebab sabar dan kita……
sudah seperti ombak dan pantai.

Allah beri kita ahli syurga
untuk membawa kita sama-sama ke syurga
benar, syurga itu mahal
kerana itu, usaha kitauntuk mereka, Allah saja yang boleh nilai.

Jadi, sekali lagi usah peduli kata-kata manusia
kita usaha, sabar dan cari redha Allah saja
mereka adalah amanah, bukan beban
untuk dicintai, bukan disisihkan.

Anizal Abdul Latif

Genius dari syurga,2015

Pemilik kuasa

Pemilik kuasa

Ketika diri ghairah serakah
mengagungkan semua selain Engkau
mencari sebanyak-banyak solusi
percaya boleh selesai sendiri

Engkau yang menjadikan api itu sejuk
ketika Ibrahim sedang dibakar
Engkau yang menukarkan kibas
ketika Ismail dijadikan korban

Engkau yang membelah lautan
ketika Musa dikejar musuh
Engkau yang memberi mukjizat
ketika Muhammad dalam kesulitan
 
Memberi hidup pada yang mati
menyuburkan apa yang kontang
menggerakkan apa yang terhenti
mengatur segala di langit dan bumi.

Maka tidaklah susah bagiMu
untuk membetulkan  sesuatu
sesuai pada tempatnya
kena pada fitrahnya.

Ya Rabb, kuakui kini
akulah hamba yang tidak berdaya
langkahku terhenti di sini
kembali kuraih ihsanMu.

Kerana Engkau pemilik ilmu
sedang aku cuma punya rasa
kerana Engkau pemilik kuasa
sedang aku hamba yang tak punya apa.

Anizal Abdul Latif
Genius dari syurga,2015

Dia yang berbeza

Dia yang berbeza

Kau yang mama nantikan
berkongsi nyawa sembilan bulan
wira pertama jadi harapan
semoga membesar menjadi pahlawan

Semakin masa mengejar waktu
semakin mama rindu dambakan
mata kita padu bersatu
kala lagu cinta  mama dendangkan.

Semakin engkau menginjak usia
semakin mama diuji rasa
bilakah kau kan memanggil mama
dengan pelukan mesra manja

Kau tetap dengan duniamu
yang tidak pernah mama fahamkan
rindu yang mencengkam saban waktu
laksana pungguk rindukan bulan

Kau berbeza, bukan sebarangan
pasti ada rahsia mengapa Allah titipkan
hidup ini tiada yang kebetulan
disitulah tanda kasih sayang Tuhan

Anizal Abdul Latif
Genius dari syurga,2015

Cahaya di lorong gelap

Cahaya di lorong gelap

Kenyataan itu hakikatnya pedih
hingga segalanya nampak gelap
takut, gelisah dan sedih
menjalar di segenap saraf.

Kukejar dia yang bernama doktor
kupelajari dia yang bernama ilmu
kucari dia yang bernama ubat
kuusahakan dia yang bernama penawar.

Di hujung  garisnya penamat
apabila tiada satu  memberi manfaat
setelah roh dan jasad penat
di situ Allah beri hidayat.

Dia boleh hidupkan yang mari
tanpa satu pun bantuan jentera
maka apalahh susah bagiNya
memperbetulkan apa yang sepatutnya.

Cahaya itu beriku sedar
selama ini kutemui lelahnya
mengapa aku kejar selain DIA?

sedang kun fayakun mutlak padaNya.

Terima kasih ya Rabb
pedihnya  melalui masa gelap ini
asbab aku dapat merasa
nikmatnya tatkala menemui cahayaMu

Anizal Abdul Latif
Genius dari syurga,2015

Bisik akal

Bisik akal

Yang tidur lewat
yang bangun awal
harus mempersiapkan diri
melangkah di luar rumah.

Menyambungkan nafas
mengisikan kehidupan ini
yang terhimpit dibelit permasalahan
yang laju diterbangkan angin

aku berbisik kepada akal
tidak mudah menjadi manusia
terkadang-kadang kita dirantai
terkadang memusnah diri sendiri

akal berkata kepadaku:
hanya yang teguh keimanan
bakal menjadi manusia bahagia
seperti dimaktubkan janji Tuhan.

Nahmar Jamil
Negeri tercantik
DBP, 1986



Bisik akal

Bisik akal

Yang tidur lewat
yang bangun awal
harus mempersiapkan diri
melangkah di luar rumah.

Menyambungkan nafas
mengisikan kehidupan ini
yang terhimpit dibelit permasalahan
yang laju diterbangkan angin

aku berbisik kepada akal
tidak mudah menjadi manusia
terkadang-kadang kita dirantai
terkadang memusnah diri sendiri

akal berkata kepadaku:
hanya yang teguh keimanan
bakal menjadi manusia bahagia
seperti dimaktubkan janji Tuhan.

Nahmar Jamil
Negeri tercantik
DBP, 1986


Karenah waktu

Karenah waktu

Melihat jam: waktu baru bermula
melihat jam: waktu sudah terlepas

Melihat jam: waktu terlewat
melihat jam: waktu berkesal

Melihat jam: waktu menanti
melihat jam: waktu  berdebar

Melihat jam: waktu bergembira
melihat jam: waktu bermuram

Melihat jam: waktu mencengkam
melihat jam: waktu memberangsang

Melihat jam: waktu kelahiran
melihat jam: waktu kematian.

Nahmar Jamil
Negeri tercantik
DBP, 1986

Ayah

Ayah

Dengan mata anak kecil
aku melihat ayah
tiga puluh lima  tahun lalu
yang sudah menjadi almarhum
dia rajin menatap kitab agama
kepalanya berketayap putih
cermin matanya tebal
dia dipanggil haji.

Dengan mata zaman kini
aku melihat seorang ayah
berjoging dengan tongkat di tepi jalan
membimbing cucu ke taman
menatap akhbar harian di taman
menyedut gelas di kedai kopi
berbual politik dengan teman.

Telah tiba giliran
hanya anakku yang mengetahui
bagaimana tentang ayahnya.

Nahmar Jamil
Negeri tercantik
DBP, 1986

Pilihan raya

Pilihan raya

Pilihan raya
Bukan memilih untuk suka-suka
bukan memilih asalkan sesiapa
bukan memilih asalkan kerana  mendapat apa-apa
bukan memilih untuk mendapat laba
bukan memilih untuk melampiaskan kecewa
bukan memilih kerana amarah tak terkata
bukan memilih kerana dendam di sukma
bukan memilih kerana terpesona oleh kata-kata

Pilihan raya
masa untuk menilai semua
calon berwibawa atau calon badut bahan bercanda
janji tulus atau janji semua bersifat sementara
wawasan berjejak atau ilusi bersalut gula
pemimpin bergagasan atau yang tandus fikiran tak bermaya.

Pilihan raya
menjadikan kita bijaksana
atau terkambus dalam bencana.

Awang Sariyan
Di denai kehidupan
DBP, Kuala Lumpur 2016

Menjaga perkataan

Menjaga perkataan

Usah kauhunus keris wacanamu
dengan perkataan yang membunuh kedamaian
usah kautusuk jantung hati saudara dan sahabatmu
dengan kerambit bergerigi hasad
usah kaulukai perasaan mereka
dengan ketajaman lidah dan penamu
yang berdakwatkan fasad.

Awang Sariyan
Di denai kehidupan

DBP, Kuala Lumpur 2016

Retrospeksi

Retrospeksi

Pada usia yang bersisa
aku tidak akan banyak berbicara
atau banyak bertanya
kecuali yang meningkatkan dan memperjelas makna
tentang kehidupan yang fana
dan kehidupan yang baqa

Aku akan lebih banyak merenung
memperhatikan
mentafsirkan
dan memahami erti keberadaanku
dimayapada
erti penciptaan alam sarwa
dan erti Pencipta
yang mengatasi segala pencipta

Kukira berpadalah
selama ini aku melayan kehidupan dunia
dengan pelbagai tipu dayanya
dengan pelbagai kepalsuannya

Pada usia yang bersisa
aku perlu membuat pilihan
yang benar-benar bermakna.

Awang Sariyan
Di denai kehidupan
DBP, Kuala Lumpur 2016

ad2

Chord dan Lirik

Explore Indonesia

Broker Kripto

Tempo Doeloe

Olahan Makanan

Ulasan Film

Keimanan dan Keyakinan

Top Bisnis Online

Tips dan Trik